Wednesday, 14 December 2016

                                                 PENGENALAN BORIA
Keunikan warisan yang terdapat di Pulau Mutiara atau lebih dikenali sebagai Pulau Pinang ini menyimpan pelbagai khazanah seni budaya masyarakat tempatan selama beberapa dekad. Seni persembahan yang dikenali sebagai Boria ini dikatakan berasal dari Parsi dan dibawa masuk ke Tanah Melayu oleh askar-askar India selatan ketika SHTI mula bertapak di Pulau Pinang. Manakala, boria juga dikaitkan dengan peristiwa karbala iaitu pembunuhan Saidina Hussein r.a oleh Muawiyah bin Sufian. Pada ketika itu, boria dipersembahkan oleh askar-askar itu selama 10 hari pada bulan muharam untuk mengingati peristiwa karbala dan meratapi kematian Saidina Hussein r.a.
Namun, selari dengan peredaran masa persembahan boria digubah dan dipersembahkan oleh penduduk-penduduk tempatan yang berketurunan India Selatan yang lebih dikenali dengan gelaran Jawi-          Pekan. Golongan ini mengubahsuai boria mengikut citarasa dan keperluan komuniti tempatan. Kini, boria dipersembahkan pada hari kebangsaan dan pesta-pesta di Pulau Pinang, tapak-tapak ekspo dan sebagainya bagi menaikkan industri pelancongan negeri. Di samping itu, pertandingan-pertandingan boria juga turut diadakan bagi memastikan boria tidak hilang dek arus kemodenan.
             Kebiasaanya, di kampong-kampung boria sering dipersembahkan di pentas biasa iaitu di atas pelantar kayu yang dibina kira-kira 1 meter tingginya. Selain itu, pentas ini tidak memerlukan set atau props dan prop-prop kecik sahaja yang dipegang oleh para peserta boria seperti daun manggar dan paying yang dihiasi berwarna warni. Manakala, di sini juga ditempatkan pemain-pemain muzik yang duduk ketika persembahan. Ruang di bahagian hadapan pelantar ini merupakan gelanggang untuk persembahan boria. Namun, apabila dimainkan untuk perayaan negeri biasanya pentas dewan digunakan tetapi prop dan set masih tidak diperlukan.
          Garapan persembahan boria ini mempunyai dua segmen iaitu lakonan atau lawak jenaka dan juga nyanyian. Kedua-dua segmen ini saling bergantungan di antara satu sama lain dalam menentukan mutu persembahan. Pada asalnya, para pelakon boria adalah lelaki sahaja. Serta watak wanita yang ditimbulkan dalam cerita akan dilakonkan oleh pelakon lelaki yang akan memakai pakaian wanita sambil merendahkan suaranya agar tidak selantang suara lelaki. Tambahan pula, dalam kumpulan boria wanita biasanya akan menyanyi. Namun, sejak tahun 1950 an pasukan boria wanita mula wujud. Lakonan akan dipenuhi dengan lawak jenaka yang sengaja direka untuk memberi kesan geli hati kepada penonton.
                Seusai babak lakonan berakhir, muzik akan diputarkan menandakan permulaan bahagian kedua persembahan iaitu segmen nyanyian. Si tukang karang iaitu ketua penyanyi dalam setiap kumpulan akan mendahului para kelasi iaitu penari atau penyanyi latar masuk ke pentas sambil memusing-musingkan baton di tangan. Nyanyian dimulakan secara solo oleh tukang karang yang kemudian diikuti oleh korus pihak kelasi. Marcapada ini, cerita-cerita yang dipersembahkan dalam persembahan boria banyak berkisarkan tema-tema yang mempunyai hubungan dengan isu-isu semasa dan sindiran terhadap kehidupan masyarakat. Kadang kala cerita Cina atau India juga dikisahkan malah cerita daripada filem juga dilakonkan dalam pementasan boria.

            Pasukan Amatur lazimnya berkait dengan pergerakan belia politik, sekolah-sekolah atau maktab-maktab. Manakala, pasukan professional terdiri daripada beberapa pelakon yang telah mahir mengimprovisasikan dialog. Pasukan professional ini kebiasaanya terdiri daripada pasukan yang stabil berbanding dengan pasukan amatur memandangan mereka sudah berpengalaman dalam persembahan.  



No comments:

Post a Comment